Pulangan Lumayan menanti Anda Hanya Klik di sini

Sunday 17 March 2013

Taman Tun Mustapha,SABAH




KUDAT,SABAH 2013 - Jika diambil kira luas Taman Tun Mustapha (TTM), ia merupakan taman marin terbesar di Malaysia pada ketika ini dengan keluasan sejuta hektar dan mempunyai sebanyak 50 buah pulau di dalamnya.

Bagaimanapun, sehingga kini, ia masih belum diiktiraf dan diwartakan sebagai sebuah taman marin meskipun kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan itu sejak 2003.

Jika dipersetujui kelak, ia diyakini dapat menggerakkan usaha memelihara dan melindungi kepelbagaian hidupan seperti hutan, paya bakau dan rumpai laut di TTM.

Bagi pencinta alam, langkah mewartakan Taman Tun Mustapha menjadi taman marin perlu demi kepentingan lebih 80,000 penduduk asal di pulau itu yang majoritinya bergantung kepada sumber alam untuk hidup.

Dengan lebih 50 pulau, TTM adalah habitat perlindungan bagi 252 spesies terumbu karang, 350 spesies ikan serta penyu hijau dan dugong.

Ini sekali gus melengkapkan pakej TTM untuk menjadi destinasi pelancongan terbaru di Sabah, terutama bagi para penyelam yang ingin melihat keindahan dasar lautnya.

Pengurus Projek Ekologi Marin Sulu Sulawesi WWF, Robecca Jumin berkata, dalam banyak-banyak pulau di TTM, Balambangan, Maliangin dan Berungus merupakan tempat yang paling menarik bagi eko pelancongan.

"Selepas diwartakan, taman tersebut akan menjadi taman marin terbesar di Malaysia dan yang kedua di Sabah. Ketika ini, Sabah mempunyai Taman Marin Tun Sakaran di Semporna.

"Namun, Taman Marin Tun Sakaran lebih kecil. Ia hanya berkeluasan 305 kilometer persegi dan mempunyai lapan buah pulau," katanya.

Robecca memberitahu, terdapat lebih 20 buah gua batu kapur di Balambangan dengan beberapa penemuan arkeologi berusia ribuan tahun lalu di situ.

Selain itu, turut ditemui sejenis orkid gua batu kapur mengagumkan iaitu jenis sama yang terdapat di Gua Mulu, Sarawak.

Katanya, dengan keunikan alam semulajadi yang terdapat TTM adalah wajar agar satu usaha untuk membangunkan eko pelancongan di kawasan itu dimulakan.

Jelas beliau, pembangunan eko pelancongan akan menjana kehidupan yang berkekalan bagi masyarakat tempatan dan membina sokongan sepenuhnya dalam melindungi pulau-pulau di situ.

Perancangan berterusan untuk TTM akan memberi peluang untuk memastikan aspek-aspek itu digabungkan dalam pelan pengurusan yang mantap.

Robecca berkata, inisiatif untuk memajukan eko pelancongan mestilah terancang dan direka khas agar ia membawa manfaat kepada semua pihak yang berkepentingan tanpa menjejaskan integriti ekologi TTM.




0 comments :

Post a Comment